Menteri Tolak Cadangan Bank
Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbincang dengan wakil-wakil koperasi di Putrajaya, semalam
PUTRAJAYA 11 Ogos – Cadangan untuk membenarkan bank-bank komersial mengambil alih skim potongan gaji pegawai kerajaan yang meminjam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan koperasi kredit perlu ditolak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bimbang jika ia dibenarkan akan menyebabkan Angkasa dan lebih 500 buah koperasi kredit yang mempunyai 2.8 juta ahli seluruh negara berisiko untuk ditutup.
Beliau berkata, ia juga akan menyebabkan wujudnya persaingan yang tidak adil antara bank komersial dengan koperasi kredit serta Angkasa.
”Saya tidak faham kenapa cadangan itu wujud kerana ia satu tugas yang remeh dan pihak bank sepatutnya terlibat dalam bidang perniagaan yang besar serta membawa keuntungan berlipat kali ganda daripada bersaing dengan koperasi kredit dan Angkasa.
”Sepatutnya nasib lebih 500 buah koperasi kredit dan Angkasa perlu diutamakan kerana itulah punca utama pendapatan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog dengan 270 pengurus koperasi yang mewakili pelbagai koperasi dari seluruh negara di sini hari ini.
Difahamkan cadangan Jabatan Akauntan Negara itu telah dibincangkan sejak dua bulan lalu oleh pihak-pihak terbabit termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan berhubung cadangan itu esok.
”Saya simpati dengan apa yang berlaku dan ia seolah-olah bertentangan dengan matlamat kerajaan untuk memastikan kadar perolehan koperasi kepada RM10 bilion menjelang tahun 2012.
”Saya selaku menteri yang bertanggungjawab menyokong bantahan terhadap cadangan itu dan akan menyampaikannya kepada PM esok,” katanya.
Sementara itu, beberapa ahli koperasi kredit yang ditemui pada majlis itu menyifatkan cadangan terbabit sebagai tidak wajar.Pengerusi Bank Persatuan, Datuk Mohamed Darus berkata, ia akan menyukarkan
koperasi berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan lain kerana kehilangan sumber pendapatan utama.
”Koperasi boleh mati jika cadangan itu dilaksanakan kerana tidak ada duit untuk mengembangkan lagi pembangunan koperasi kami,” katanya.
Pengurus Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad, Ahmad Bakary Asha’ari berkata, cadangan itu akan menyebabkan industri koperasi di negara ini kehilangan daya saing.
”Jika ia dilaksanakan, maka koperasi akan kehilangan ahli kerana untuk meminjam, orang ramai perlu menjadi ahli koperasi terlebih dahulu,” katanya.
Bagi Bendahari Koperasi Pegawai Kerajaan Taiping, Norshidah Maarof pula, beliau melihat peranan koperasi kredit itu perlu dipertahankan kerana ia boleh mengelakkan wujudnya budaya meminjam dengan ah long atau ceti haram.
”Tidak semua orang boleh meminjam dengan bank tetapi dengan koperasi, sesiapa menjadi ahli sudah layak untuk membuat pinjaman,” katanya.
sumber:
http://www.skm.gov.my/berita
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
















