Skim Cepat Kaya
Dirujuk Dari Kenyataan SKM – 02/2009
Skim Cepat Kaya
1. Kebelakangan ini Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mendapati pelbagai iklan dan tawaran melalui internet dan risalah-risalah mengenai program-program perniagaan bercirikan ‘skim cepat kaya’ yang ditawarkan oleh koperasi-koperasi kepada orang awam yang menjamin pulangan lumayan sehingga ada yang menawarkan pulangan pelaburan sehingga 10 peratus pulangan/ dividen setiap bulan. Risalah-risalah ini telah disebarkan secara meluas di tempat-tempat awam seperti stesen bas dan di masjid-masjid.
2. SKM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia sentiasa memantau dan sedang mengambil tindakan undang-undang untuk membanteras kegiatan tersebut. Beberapa kes ke atas anggota lembaga telah berjaya diambil tindakan termasuk menggantung, membubar dan memecat mereka yang terlibat dalam skim seumpama itu. Lain-lain yang terlibat masih dalam pemeriksaan dan siasatan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
3. SKM menyeru agar orang ramai berwaspada, berhati-hati dan bertindak bijak terhadap tawaran yang dijanjikan oleh koperasi-koperasi berkenaan supaya tidak mudah tertipu dengan pelaburan ala ‘skim cepat kaya’ yang dianjurkan oleh pihak-pihak berkenaan.
4. Sehingga kini SKM tidak pernah meluluskan aktiviti pelaburan ala ‘skim cepat kaya’. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan yang musykil dan ragu-ragu mengenai kedudukan perniagaan koperasi, bolehlah meminta penjelasan daripada SKM .
Untuk maklumat lanjut lawati laman sesawang: Suruhanjaya Koperasi Malaysia
















